KUALA LUMPUR - Nama pelumba berpengalaman negara, Suhardi Hassan 'tercicir' daripada senarai skuad negara pada perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang akan berlangsung mulai 1 Mac ini.
Keputusan diumumkan oleh jurulatih baru pasukan negara dari Australia, William Walker.
Jurulatih muda itu berkata, prestasi semasa yang ditonjolkan oleh Suhardi di sepanjang latihan pusat yang dijalankan, kurang memberangsangkan.
Sehubungan itu, dia mengambil keputusan untuk mencuba pelumba baru, yang dilihatnya mampu menggalas cabaran pada perlumbaan kali ini.
"Tidak salah untuk saya melakukan perubahan dan mencuba sesuatu yang baru.
"Berdasarkan rekod yang dicapai oleh skuad Malaysia pada kejohanan ini, menerusi kayuhan Suhardi bukanlah satu pencapaian yang membanggakan.
"Sehubungan itu, saya merasakan sudah tiba masanya untuk membuat perubahan dan menggunakan khidmat pelumba muda," katanya pada sidang akhbar pengumuman nama pelumba skuad kebangsaan di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Mohamed Salleh.
Enam pelumba yang terpilih untuk memperkuatkan skuad Malaysia ialah Amir Mustafa Rusli (ketua pasukan), Mohammad Akmal Amrun (pemecut), Ahmad Fallanie Ali, Mohd. Zamri Salleh, Mohd. Nur Rizuan Zainal dan Shahrul Mohd. Amin.
Mengulas lanjut, Walker yakin dengan kemampuan pelumba yang dipilihnya, meskipun tidak menggunakan khidmat Suhardi.
Dia mempunyai perancangan tersendiri dan pelbagai kelainan strategi telah disediakan bagi menghadapi kejohanan edisi ke-15 tersebut.
Walker mahu membuat kelainan pada persaingan kali ini dan menggunakan pelbagai perancangan teknikal, bagi memastikan pelumba negara tampil di kaca televisyen dan di dada akhbar.
"Jika ingin dikira dari segi pengalaman, ia bukanlah satu perkara yang sangat penting. Pengalaman yang dimiliki oleh pelumba sebelum ini pada perlumbaan sebelum ini juga masih tidak berjaya membantu Malaysia mencipta kejayaan.
"Oleh itu, saya perlu melakukan perubahan dan mencuba sesuatu yang baru dan memberi pendedahan kepada pelumba baru.
"Mungkin sukar untuk berada dalam kelompok terbaik, tetapi mungkin perancangan yang telah dirancang, akan dapat menyaksikan pelumba negara mampu memenangi mana-mana peringkat kejohanan atau gagah dalam melakukan pecahan dan pecutan," katanya.
Ditanya kemungkinan masalah disiplin yang menyebabkan Suhardi disingkirkan, Walker menafikannya dan menyatakan prestasi semasa pelumba negara itu tidak berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, Abu Samah berkata, sebanyak 11 pelumba negara akan beraksi di kejohanan kali ini, termasuk Anuar Manan dan pelumba muda negara, Adiq Husainie Othman yang beraksi dengan pasukan benua.
Katanya, persembahan kesemua pelumba negara di LTdL 2010 akan dinilai dan seterusnya dipilih untuk beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, April depan.

William Walker (tengah) bersama pelumba yang terpilih beraksi untuk skuad kebangsaan pada LTdL 2010 di Kuala Lumpur, semalam.