KUALA LUMPUR - Bukan sahaja pihak penganjur Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang terus mendapat 'durian runtuh' daripada Genting Malaysia Bhd. (Genting Malaysia), tetapi pelumba negara juga ditawarkan hadiah lumayan.
Timbalan Pengerusi Genting Malaysia, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, selain tajaan berjumlah RM1 juta dalam bentuk tunai dan barangan, pihaknya juga akan memberi hadiah wang berjumlah RM2,000 kepada mana-mana pelumba negara yang berjaya menaiki podium.
Menurut beliau, ganjaran yang diberikan oleh Genting Malaysia pada kejohanan kali ini, lebih terbuka untuk dimenangi oleh pelumba Malaysia.
Jelasnya, tawaran tersebut akan diberikan kepada pelumba Malaysia yang berjaya menaiki podium di mana-mana peringkat LTdL 2010.
Katanya, Genting Malaysia sebelum ini hanya menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 kepada pemenang tempat pertama sahaja.
"Tawaran seumpama ini bertujuan merangsang pelumba negara untuk mencipta kejayaan di kejohanan ini, sekali gus menghargai sumbangan mereka," katanya pada majlis pengumuman penajaan dan penyerahan jersi Raja Bukit, di sini, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng.
Mengulas lanjut, Mohammed Hanif berkata, usaha Genting Malaysia memberi penajaan bernilai RM1 juta kepada perlumbaan berprestij negara itu adalah sebagai tanda sokongan syarikat kepada kejohanan sukan di Malaysia.
Jelas beliau, selain menjadi salah satu cara syarikat itu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, ia juga membuktikan kesungguhan Genting Malaysia membantu meningkatkan pembangunan sukan berbasikal negara.
Katanya, ia terbukti apabila Genting Malaysia telah menaja kejohanan tersebut sejak 1996.
Ditanya adakah Genting Malaysia akan menambah jumlah tajaan pada tahun depan, Mohammed Hanif berkata, ia bergantung kepada pihak penaja untuk meyakinkan syarikat tersebut.
"Saya tidak berjanji untuk menambah tajaan pada tahun depan, tetapi Genting Malaysia akan terus memberi sokongan kepada kejohanan ini.
"Ia juga bergantung kepada kesungguhan pihak penaja untuk meyakinkan syarikat ini bahawa kejohanan LTdL ini akan terus berlangsung dengan jayanya pada tahun depan," katanya.

Mohammed Hanif Omar (kiri) menyampaikan replika cek penajaan serta jersi 'Raja Bukit' LTdL 2010 kepada Wee Jeck Seng (dua dari kiri), pada majlis penyerahan penajaan di Kuala Lumpur, semalam.